Archive for December 3rd, 2017

Dec 03 2017

Published by under Uncategorized

KOTA ISKANDAR, 29 Nov — Seorang penyokong kerajaan hari ini mencadangkan supaya kerajaan negeri Johor menubuhkan sebuah badan yang bertindak sebagai penyedia perkhidmatan internet bagi memastikan semua kawasan di negeri ini mendapat capaian internet secara meluas tanpa sebarang gangguan.

Datuk Adam Sumiru (BN-Tanjung Puteri) berkata beliau membuat cadangan itu kerana mendapati terdapat syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini masih enggan menaik taraf kabel komunikasi mereka yang digunakan di kawasan perumahan lama.

Beliau berkata bagi  memperoleh liputan yang lancar, kabel itu sepatutnya diganti dengan gentian optik tetapi tidak dipasang di kawasan ini.

“Gentian optik ini hanya dipasang kepada kawasan perumahan baharu sahaja, ini pun kos ditanggung oleh pemaju perumahan itu sendiri,” katanya dalam sesi perbahasan Bajet Johor 2018 di sini, hari ini.

Justeru, Adam menyifatkan penubuhan badan itu adalah tepat oleh kerana kerajaan negeri dapat memastikan bahawa jaringan internet di semua kawasan dan daerah berada pada tahap baik, selain dapat memastikan rakyat tidak lagi menjadi  mangsa keuntungan syarikat telco, semata-mata.

“Keperluan jalur lebar yang pantas memang menjadi keutamaan era digital masa kini, bukan sahaja kepada kerajaan tetapi masyarakat yang rata-rata telah menggunakan aplikasi dalam talian setiap masa.

“Oleh itu, seeloknya infra sebegini sudah menjadi agenda kerajaan yang bermaksud mereka memberikan perkhidmatan sebagaimana infra jalan, parit, lampu jalan dan lain-lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.

No responses yet