SEORANG penulis, Lim Ming Fah menerusi sebuah artikel yang tersiar di akhbar Sin Chew Jit Poh pada 16 Februari lalu berkongsi pengalaman mengenai perpaduan yang membuatkannya terharu. Dua kejadian yang berlaku sewaktu sambutan Tahun Baru Cina itu juga membuatkan beliau berpendapat seperti ada nyawa baru kepada perpaduan di kalangan rakyat.
Pengalaman pertama beliau berlaku di sebuah bengkel kereta. Sewaktu sedang menunggu keretanya dibaiki oleh seorang mekanik Melayu, tiba-tiba seorang penunggang motosikal berbangsa Cina tiba dan menyerahkan kunci motor serta wang sebanyak RM20 kepada mekanik Melayu itu.
Tetapi mekanik Melayu itu hanya mengambil kunci motosikal sahaja dan menolak wang tersebut. Hairan dengan keadaan itu, penulis (Lim Ming Fah) bertanyakan apa sebenarnya yang berlaku.
Mekanik Melayu itu menjawab, pemuda Cina tersebut memulangkan motosikal yang dipinjamkannya selepas motosikal pemuda Cina itu yang digunakan untuk berulang-alik dari tempat kerja di Singapura rosak.
Tetapi mekanik Melayu itu tidak mahu menerima wang saguhati yang diberikan oleh pemuda Cina itu. Penulis ini bertanyakan lagi sama ada mekanik Melayu itu mengenali pemuda Cina tersebut. Tetapi alangkah terkejutnya penulis ini apabila pemuda Melayu itu menjawab dia sebenarnya tidak mengenali pemuda Cina tersebut.
Penulis ini kemudian berkata, ”Tidak kenal? Berani awak meminjamkan motor kepadanya?” Pemuda itu kemudian berkata, ”Tidak mengapa. Dia dalam kesusahan, jadi saya kena tolonglah.”
Peristiwa kedua pula kata penulis ini (Lim Ming Fah), adalah kunjungan dua orang jiran Melayu ke rumah kakak iparnya sewaktu sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini. Menurut kakak iparnya, jiran Melayu yang baru berpindah itu menziarahi dengan hati yang terbuka, menyebabkan mereka sekeluarga sangat gembira menerima kehadiran jiran Melayu itu.
Daripada peristiwa itu kata penulis ini, perpaduan rakyat adalah satu talian yang seharusnya berpanjangan seperti air. Apa yang ditunjukkan oleh dua orang jiran Melayu yang dengan terbuka mengunjungi rumah jiran Cina mereka, adalah sikap yang lebih baik daripada ahli politik yang membuat kunjungan palsu.
- http://www.malaysia-instinct.com/