Apr 09 2008
Ahli Majlis BN digesa ikhlas bantu rakyat
Ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya ikhlas melaksanakan sesuatu kerja atau membuat kebajikan membantu rakyat dan tidak hanya berfikir untuk kepentingan individu dan parti sahaja.Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad berkata, semua ahli majlis PBT BN memainkan peranan besar dalam memantapkan lagi sesuatu parti supaya semua rakyat yakin dengan pentadbiran yang digerakkan oleh kerajaan.
“Mereka perlu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat sebaik mungkin kerana setiap tugasan itu merupakan kepercayaan yang dipertaruhkan oleh masyarakat untuk kita.
“Kerana kepercayaan rakyat itulah kita masih lagi kekal mentadbir kerajaan walaupun kita hilang suara dua pertiga di Dewan Rakyat. Jadi jangan mempersia-siakan kepercayaan itu,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Makan Malam Kesyukuran BN Johor Bahru di sini malam semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri, Adam Sumiru dan ADUN Stulang, Mok Chek Hou.
Majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang itu menurut Shahrir sebagai sambutan dan tanda terima kasih kepada semua jentera BN yang bertungkus-lumus berusaha bagi memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Menurutnya, bagi memantapkan lagi BN di Johor Bahru, mesyuarat bahagian akan dijalankan sekerap yang mungkin bagi menyelesaikan segala masalah yang timbul dan merancang aktiviti di peringkat akar umbi.
“Mesyuarat itu nanti akan membantu semua ahli untuk membentuk suatu parti yang mantap dan mampu memenuhi segala keperluan rakyat,” ujarnya.
JOHOR BAHRU 2 April – Sebanyak 104 keluarga di Kampung Bendahara di sini yang terlibat kejadian ribut, Khamis lalu, menerima bantuan segera RM5,200 daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).
