Archive for March, 2008

Mar 20 2008

Prestasi perkhidmatan 50 ADUN BN dipantau

Published by admin under Uncategorized

JOHOR BAHRU 19 Mac – Semua 50 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) akan dipantau secara berkala bagi memastikan mereka memberikan sumbangan terbaik dan mesra rakyat sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, sebelum ini terdapat segelintir ADUN yang gagal melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat yang diwakili sehingga menjejaskan imej BN.

“Akibatnya, wakil rakyat tersebut tidak dipilih untuk bertanding, manakala yang dikekalkan bertanding pula kalah pada pilihan raya umum lalu,” katanya selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Johor di sini hari ini.

Menurutnya, pemantauan berkala itu akan dibuat berasaskan laporan yang diperoleh daripada beberapa sumber tempatan selain aduan yang diterima terus daripada rakyat.

“Kali ini kita akan memastikan setiap ADUN memberikan perkhidmatan terbaik serta sentiasa mesra rakyat,” katanya.

Terdahulu, Abdul Ghani yang juga Pengerusi BN Johor berkata, kerajaan negeri akan memastikan segala dasar dan program pembangunan yang diusahakan akan dikecapi oleh setiap lapisan rakyat.

Selain itu, menurutnya, pentadbiran cekap dan bersih akan terus diberi penekanan agar setiap permohonan dan permasalahan rakyat dapat diselesaikan dengan sempurna.

“Kerajaan akan turut meneruskan amalan tender terbuka atau bidaan tertinggi ke atas semua projek kerajaan termasuk pembalakan,” katanya.

Sementara itu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri tidak akan meminggirkan kawasan DUN yang dikuasai pembangkang daripada menikmati pembangunan.

Menurut beliau, ini kerana kerajaan negeri berpegang kepada prinsip untuk membawa kemakmuran kepada setiap lapisan rakyat menerusi pelbagai projek pembangunan.

“Setiap projek sama ada baru atau dinaikkan taraf di setiap pelosok Johor termasuk di DUN Bentayan dan Sungai Abong juga akan diteruskan,” katanya.

Beliau menyifatkan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan negeri akan menghentikan segala projek di kawasan yang dikuasai pembangkang sebagai fitnah semata-mata.

No responses yet

Mar 17 2008

Adam janji atasi masalah peniaga Pasar Larkin

Published by admin under Program

ybadam01.jpgJOHOR BAHRU 17 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri, Adam Sumiru berjanji akan segera menyelesaikan masalah para peniaga di Pasar Awam Larkin yang meminta supaya tidak dibina restoran makanan segera di tempat letak kereta di situ yang dibimbangi akan menjejaskan pendapatan mereka.

“Saya akan tengok, kalau pembinaan yang dibuat tidak mengikut kelulusan pelan, saya akan minta agar pembinaan tersebut tidak diluluskan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau akan menghubungi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), pihak yang bertanggungjawab meluluskan pelan pembinaan di situ supaya menyediakan tempat letak kereta lain yang bersesuaian bagi menggantikan tempat letak kereta sedia ada.

“Tempat letak kereta baru yang bersesuaian perlu dikenal pasti sebelum menutup yang sedia ada untuk mengelak masalah kepada orang ramai,” katanya.

Semalam Utusan Malaysia menyiarkan kebimbangan para peniaga di pasar tersebut berikutan pihak pengurusan akan membina sebuah restoran makanan segera di kawasan letak kereta di situ.

Peniaga bimbang pendapatan mereka akan terjejas sekiranya orang ramai tidak lagi berkunjung ke situ gara-gara sukar mendapat tempat letak kereta yang selamat.

Bagaimanapun, usaha menghubungi pihak pengurusan pasar berkenaan untuk mendapatkan komen mereka gagal.

No responses yet